1.Kajian Awal Penyediaan dan Penilaian Krim Kosmeseutikal Antioksidan Berasaskan Minyak Pati Trigonella foenum-graecum
Bashobhini Suresh Kumar ; Vanitha Mariappan ; Barathan Muttiah ; Nantha Kumar Jeyaprakasam ; Kumutha Malar Vellasamy ; Hemabarath Bharatham
Malaysian Journal of Health Sciences 2025;23(No.2):80-93
Dunia kosmetik sekarang berubah fokus kepada produk penjagaan kulit yang menggunakan ekstrak semulajadi
seperti biji halba. Tujuan kajian ini adalah untuk merumuskan krim kulit kosmeseutikal bersifat antioksidan
dengan menggunakan minyak pati biji halba (Trigonella foenum-graecum) dan seterusnya menilai pelbagai
ciri fisiokimianya termasuk ujian pemusnahan radikal bebas, penilaian organoleptik, pencirian fizikal, ujian
kestabilan dan ujian biokeselamatan. Kepekatan minyak pati 300μL/mL menunjukkan aktiviti antioksidan yang
paling tinggi secara signifikan pada 9.58% dan formulasi krim kulit dirumuskan menggunakan emulsi minyak
dalam air dengan peratusan minyak pati yang berbeza (3%, 5% dan 10%). Ujian pemusnahan radikal juga
dijalankan ke atas formulasi krim kepekatan minyak pati 3% dan ianya menunjukkan aktiviti antioksidan tertinggi
yang signifikan (p<0.05) pada 87% serta mempamerkan sifat organoleptik yang memuaskan dengan pH 4.55.
Ujian kestabilan semua formulasi telah dijalankan selama 90 hari dan hasilnya menunjukkan bahawa formulasi
yang disimpan pada suhu bilik, mempamerkan nilai pH dan kebolehsebaran yang lebih baik berbanding formulasi
yang disimpan pada 4°C. Formulasi krim juga diuji dengan ujian saringan biokeselamatan in vitro hemolisis yang
menunjukkan ketiadaan perengsa dan bahan toksik dalam krim yang dirumuskan. Ujian sensitiviti kulit semua
formulasi krim terhadap sukarelawan melaporkan tiada reaksi kulit. Hasil kajian menunjukkan minyak pati biji
halba mempunyai sifat antioksidan yang tinggi dan boleh diformulasikan dalam bentuk krim kulit kosmeseutikal
yang selamat. Walau bagaimanapun, ujian tambahan kosmeseutikal dan dermatologi diperlukan untuk penilaian
lanjut manfaat krim yang dirumuskan.


Result Analysis
Print
Save
E-mail