1.Perbezaan Etnik dalam Ketidakupayaan, Kesejahteraan Psikologi dan Kualiti Hidup Berkaitan Kesihatan dalam Kalangan Pesakit Osteoartritis Lutut di Malaysia: Satu Kajian Keratan Rentas
Oviya Theverajan ; Amrie Irfan Basri ; Mohd Fahmi Aluwi ; Siti Salmiah Md Daud ; Mohd Azzuan Ahmad
Malaysian Journal of Health Sciences 2026;24(No. 2):242-250
Osteoartritis lutut atau knee osteoarthritis (KOA) merupakan penyakit muskuloskeletal yang lazim dan semakin
meningkat secara global. Di Malaysia, perbezaan etnik dalam kelaziman KOA telah dikenal pasti, namun kajian
yang menilai sama ada perbezaan ini turut melibatkan ketidakupayaan dan kesejahteraan psikologi masih
terhad. Kajian ini bertujuan untuk membandingkan ketidakupayaan, kesejahteraan psikologi dan kualiti hidup
berkaitan kesihatan dalam kalangan pesakit KOA berbangsa Melayu, Cina dan India di Malaysia. Kajian keratan
rentas ini melibatkan 90 orang dewasa yang telah didiagnosis secara klinikal dengan KOA, merangkumi 30
responden Melayu (57.97 ± 7.89 tahun), 30 responden Cina (60.00 ± 9.90 tahun), dan 30 responden India (59.20
± 8.65 tahun). Ketidakupayaan berkaitan KOA dinilai menggunakan soal selidik Knee Injury and Osteoarthritis
Outcome Score (KOOS), manakala kesejahteraan psikologi dan kualiti hidup dinilai menggunakan Short Form 36
Health Survey (SF-36). Analisis varians sehala dan ujian post hoc digunakan untuk membandingkan keputusan
antara kumpulan etnik. Hasil kajian menunjukkan bahawa responden Cina mencatatkan skor tertinggi dalam
hampir semua domain KOOS dan SF-36, menunjukkan fungsi lutut, kesejahteraan psikologi dan kualiti hidup
yang lebih baik. Responden Melayu pula mencatatkan skor KOOS terendah dalam domain kesakitan dan kualiti
hidup, serta menunjukkan tahap kesakitan yang paling tinggi. Responden India menunjukkan skor sederhana
dalam kebanyakan domain, namun mencatatkan skor terendah dalam domain sukan dan rekreasi. Dapatan ini
menunjukkan perbezaan etnik yang ketara dalam aspek ketidakupayaan, kesejahteraan psikologi dan kualiti
hidup dalam kalangan pesakit KOA. Oleh itu, strategi pemulihan yang bersifat khusus dan mengambil kira latar
belakang etnik adalah penting bagi meningkatkan kesaksamaan dalam penjagaan kesihatan muskuloskeletal di
Malaysia.

Result Analysis
Print
Save
E-mail