Kemerosotan kesihatan otak merupakan suatu wabak di seluruh dunia. Penyakit
Alzheimer dan demensia lain adalah antara penyakit yang tertinggi kos untuk
dirawat, dengan perbelanjaan penjagaan langsung melebihi mereka yang
menghidap kanser dan penyakit jantung. Pengambilan terlalu banyak dan terlalu
kerap produk makanan terproses telah menyumbang kepada peningkatan
kemerosotan kesihatan pada usia yang muda. Madu telah diketahui di seluruh
dunia sejak sekian lama merupakan salah satu produk asli dan semulajadi untuk
digunapakai sebagai makanan kesihatan terutamanya disebabkan oleh kandungan
antioksidan dan fenoliknya. Beberapa dekad kebelakangan ini, banyak kajian telah
dilakukan untuk memahami proses biologi gangguan kerosakan terhadap sel otak
dan cara untuk menghentikan atau melambatkan proses berkenaan menggunakan
produk semulajadi. Madu telah menunjukkan potensi besar yang mampu
mengurangkan atau melambatkan gangguan kemerosotan saraf ini. Berdasarkan
kajian terbaru penggunakan madu dan kesannya ke atas anatomi dan fisiologi
otak, menunjukkan bahawa madu mempunyai potensi untuk menghentikan atau
merawat gangguan kemerosotan kesihatan otak.